mutakhir

Rentas negeri, daerah dibenarkan kecuali kawasan PKPD [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Rentas negeri dan daerah dibenarkan seluruh negara kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 7 Disember.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas semalam bersetuju sekatan rentas daerah dan negeri di seluruh negara adalah dibenarkan kecuali bagi kawasan PKPD.

"Kebenaran ini akan bermula 7 Disember 2020. Sidang Khas juga bersetuju semua kenderaan dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, beliau amat berharap agar setiap dari individu menjaga keselamatan diri masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

"Vaksin terbaik masa kini bagi menangani Covid-19 adalah diri kita sendiri dengan mengikut norma baharu kehidupan. Tanpa perubahan sikap masyarakat dan pematuhan SOP, kita tidak akan berjaya," katanya.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah dilanjutkan bermula 7 sehingga 20 Disember.

Menurutnya, berkata, PKPB di Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Putrajaya, Labuan, Negeri Sembilan pula ditamatkan bermula esok.

"Lanjutan dan penamatan PKPB itu berdasarkan penilaian risiko dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Menurutnya, di Selangor hanya tiga daerah ditamatkan PKPB iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor berdasarkan penilaian risiko dilakukan KKM.

Selain itu, di Negeri Sembilan hanya dua daerah dikenakan PKPB iaitu Seremban dan Port Dickson.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 5:22pm
    d