mutakhir

Pulau Pinang lega PKPB hanya di kawasan terjejas

Oleh Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang bersyukur apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu ditamatkan kecuali di dua mukim dalam dua daerah.

Ia membabitkan Mukim 12, Daerah Barat Daya dan Mukim 13, Daerah Timur Laut.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya amat lega apabila cadangan untuk melaksanakan kawalan hanya di kawasan terkesan diterima Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kerajaan negeri berterima kasih kerana MKN mempertimbangkan cadangan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas negeri, kelmarin," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB di seluruh Pulau Pinang ditamatkan kecuali Mukim 12, Daerah Barat Daya dan Mukim 13, Daerah Timur Laut.

Manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di flat di Persiaran Paya Terubong, Relau dan Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban bermula 7 Disember hingga 20 Disember ini

Kon Yeow berkata, kawalan di lokasi itu akan dilakukan polis dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Prosedur operasi standard (SOP) berhubung pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti berkenaan bakal diumumkan oleh MKN Pulau Pinang dan polis dalam tempoh terdekat.

"Terdapat keperluan pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti itu untuk mencegah wabak Covid-19 dalam kalangan penduduk tanpa memberi risiko penularan kepada komuniti sekitar," katanya.

Katanya, semua penduduk di lokaliti PKPD itu diseru untuk memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan juga pejabat kesihatan daerah (PKD).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 8:52pm
    d