mutakhir

Covid-19: 3 lagi kluster baharu dikesan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Tiga lagi kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster Covid-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 388.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 201 kluster sudah tamat termasuk tiga kluster yang ditamatkan hari ini iaitu Kluster Palma, Kluster Merpati dan Kluster Makekar.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster. Daripada jumlah itu, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Ceram (155 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Cergas (92 kes) dan Kluster Tembok (92 kes)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Memperincikan tiga kluster baharu hari ini, katanya, Kluster Ceram membabitkan daerah Seremban, Negeri Sembilan.

"Kes indeks iaitu kes ke-65,468 dilaporkan positif Covid-19 pada 30 November lalu hasil saringan individu bergejala. Hasil saringan di tempat kerja seterusnya mendapati sebanyak 170 kes lagi dikesan positif Covid-19.

"Setakat ini, 450 individu disaring dan 171 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Katanya, bagi Kluster Pulau Berhala pula dilaporkan di daerah Sandakan, Sabah yang mana kes indeks (kes ke-52,089) dikesan positif Covid-19 pada 20 November lalu hasil saringan komuniti.

"Setakat ini 208 individu sudah disaring, 24 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

"Kluster Jalan Tampoi pula membabitkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes indeks iaitu kes ke-67,151 dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Disember lalu hasil saringan individu bergejala. Sehingga kini, 212 individu disaring, 17 kes dikesan positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 7:08pm
    d