mutakhir

Masjid, surau, musala di kawasan PKPD di Kelantan ditutup

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kesemua masjid, surau dan musala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Madrasah Ad-Diniah, Kampung Huma, Pasir Puteh berikutan Kluster Huma diarahkan tutup sehingga satu tarikh yang akan diberitahu nanti.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pada masa sama, arahan penutupan masjid, surau dan musala yang terletak di dalam kawasan Kluster Mengketil dan kawasan Istana Negeri Kubang Kerian juga masih diteruskan.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, bagaimanapun, empat jajahan di negeri ini iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid dan surau, namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan sebelum ini berkuat kuasa bermula hari ini hingga 20 Disember.

"Bagi jajahan Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang, solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid serta surau adalah dibenarkan beroperasi sebagaimana garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sudah diumumkan oleh pihak kerajaan.

"Perkara ini mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini.

"Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin selain terus berdoa agar segala usaha dan langkah yang diambil akan diperkenankan oleh Allah SWT supaya wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh-Nya.

"Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 8:23am
    d