mutakhir

Kelonggaran rentas negeri bukan 'lampu hijau' balik kampung

Oleh BERNAMA

Kuala Terengganu: Kelonggaran sekatan jalan raya untuk rentas daerah dan negeri bermula hari ini bukanlah 'lampu hijau' untuk orang ramai pulang ke kampung terutama di kawasan banjir tanpa berwaspada terhadap pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pihak berkuasa akan memberi tumpuan penguatkuasaan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan pandemik itu.

Beliau berkata, ekoran kelonggaran itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan pergerakan orang ramai yang tinggi hujung minggu ini, dan pihaknya akan bekerjasama meningkatkan pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Mungkin akan ada pergerakan balik ke kampung melihat keluarga di kawasan banjir serta bantuan sukarelawan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan)… kita harap pergerakan ini tidak membawa musibah kerana niat datang untuk membantu tapi dikhuatiri bawa balik Covid-19," katanya selepas mendengar taklimat pengurusan banjir di Bilik Gerakan Bencana Negeri (BGBN) di sini, hari ini.

Sementara itu di Kelantan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata kerajaan negeri bimbang kemunculan kluster baharu susulan jangkaan lebih ramai perantau pulang ke negeri itu nanti, memandangkan beberapa negeri termasuk Kelantan masih memiliki bilangan kes Covid-19 yang agak tinggi.

"Sekarang ini di Kelantan kita ada Kluster Huma di Pasir Puteh yang perlu dikawal, begitu juga di negeri-negeri lain masih ada kluster-kluster tertentu… kami risau jika ramai rentas negeri, akan berlaku penularan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Negeri Kelantan kepada 14 pemilik di Taman Wadi Iman, Pasir Genda di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • href="https://www.hmetro.com.my/covid-19/index.html">Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 5:34pm
    d