mutakhir

Bung Moktar tawar diri disuntik dahulu vaksin Covid-19 [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin menawarkan diri menjadi bahan uji vaksin Covid-19 di Malaysia bagi menyahut saranan ahli politik perlu menjadi golongan pertama disuntik vaksin itu.

"Untuk menyahut cabaran Sarikei tadi, saya menawarkan (menjadi) orang pertama disuntik vaksin (Covid-19) itu, kalau ada. Saya tidak takut, saya mahu sihat, panglima perang kena dulu," katanya ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu antara 15 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu.

Sebelum itu, Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) ketika berbahas mendakwa beliau dan ahli keluarganya dijadikan bahan uji semasa mereka disahkan positif Covid-19.

Beliau memberi contoh keputusan ujian anaknya yang juga atlet negara, Jacky Wong sering tidak konsisten.

"..kerana virus itu telah mati di dalam badan dia, tempoh kuarantin sepatutnya tamat lebih awal tetapi dia telah ditahan agak lama iaitu selama 73 hari sebelum dibenarkan pulang. "Saya berasakan ahli keluarga saya termasuk saya sendiri telah dijadikan bahan kajian semasa kami disahkan positif. Jika kita sudah mempunyai vaksin itu, siapakah yang akan menjadi bahan kajian seterusnya?

"Rakyat di luar sana mengesyorkan bahawa vaksin itu perlu diuji terlebih dahulu kepada ahli politik untuk memastikan keberkesanan vaksin tersebut sebelum diberikan kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar juga membangkitkan isu kelemahan penyelarasan KKM dalam mengurus kes Covid-19 di Sabah apabila tidak menimbang cadangan hospital swasta yang menawarkan fasiliti mereka untuk merawat pesakit Covid-19.

"Hospital di Sabah sejak Covid-19 dilihat tidak stabil, kebanyakan yang diserang Covid-19 dihantar di mana-mana. Di Tawau misalnya, ada hospital swasta menawarkan fasiliti mereka untuk disewa, tetapi KKM tak ambil kesempatan untuk memudahkan urusan.

"Sebaliknya mereka (pesakit Covid-19) dihantar ke hospital dareah lain dan meningkatkan risiko pula di daerah itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 3:52pm
    d