mutakhir

Covid-19: 3 Kluster baharu dilaporkan hari ini

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Sabah dan Johor, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Metropolis yang dilaporkan di daerah Kepong, Kuala Lumpur.

"Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 14 Disember lalu melalui saringan di tempat kerja di sebuah tapak binaan.

"Setakat hari ini, seramai 481 individu disaring dengan 147 kes dikesan positif dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Estate Maju yang dilaporkan di Putatan dan Tuaran, Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-74,498 dilaporkan positif pada 8 Disember lalu melalui saringan individu bergejala. Setakat hari ini, seramai 63 individu disaring dengan 28 kes dikesan positif dalam kluster ini.

"Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Batu 39 yang dilaporkan di Pontian, Johor dengan kes indeks dikenal pasti positif melalui saringan bersasar di tempat kerja pada 18 Disember lalu. Setakat hari ini, seramai 152 individu disaring dengan 28 kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 443 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 244 kluster dilaporkan tamat, setakat hari ini.

"Tiga kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Saga, Kluster Tatahan dan Kluster Sakti di Sabah. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 199 kluster.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Metropolis (140 kes), Kluster Ceram (107 kes) dan Kluster Penjara Jalan Harapan (58 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 7:22pm
    d