mutakhir

Kerajaan tidak wajibkan suntikan vaksin Covid-19

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan semua rakyat mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata, suntikan vaksin itu hanya akan diberikan secara sukarela, terutama kepada golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

Katanya, walaupun vaksin Covid-19 diberikan secara percuma, tetapi tiada paksaan dilakukan.

"Negara akan mendapatkan bekalan sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19, bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat.

"Bekalan sebanyak satu juta dos vaksin Covid-19 dijangka diterima Mac tahun depan akan dikhaskan kepada petugas barisan hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup pertandingan Inovasi Beca Terengganu secara dalam talian di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengkomersialan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Halila Faiza Zainal Abidin dan Pengarah SME Corp negeri Rosman Zamri.

Ahmad Amzad berkata, antara petugas barisan hadapan yang akan diberikan pengambilan vaksin Covid-19 adalah petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat, pegawai dan anggota pasukan keselamatan serta petugas penjara dan imigresen.

Katanya, suntikan vaksin Covid-19 tidak akan diberikan kepada kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dan ibu mengandung.

Ketika mengulas dakwaan pengambilan vaksin haram dalam Islam, Ahmad Amzad enggan mengulas lanjut, tetapi mengakui vaksin Covid-19, tidak mengandungi sel haiwan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 20, 2020 @ 9:19pm
    d