mutakhir

Selangor akan laksana saringan terhadap petugas HTAR

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan negeri akan menjalankan saringan terhadap kakitangan serta petugas Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dalam masa terdekat ekoran peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan petugas hospital itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan dilakukan dalam masa terdekat sebelum saringan berkenaan dilaksanakan.

"Kita akan meneliti mekanisma terbaik sebelum melaksanakan saringan dan saya memang mencadangkan kita lakukan saringan terhadap semua petugas serta kakitangan HTAR.

"Kerajaan negeri bersedia untuk membantu (melaksanakan saringan) dan saya rasa JKNS tiada masalah dengannya," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan Sempena Perayaan Krismas Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Ditanya adakah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Klang susulan peningkatan kes termasuk di HTAR, Amirudin berkata, ia tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, peningkatan kes di negeri ini terutamanya di Klang berpunca daripada saringan yang dijalankan oleh pemilik syarikat atau kilang yang menggajikan pekerja warga asing.

Jelasnya, saringan terhadap pekerja warga asing diwajibkan oleh kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 selepas mengambil pengajaran dari Kluster Teratai di Meru.

"Saya juga akan mencadangkan beberapa strategi baharu dalam pengawalan wabak ini pada sidang mesyuarat MKN yang akan dilaksanakan dalam minggu ini," katanya.

Terdahulu, sebanyak 143 kes Covid-19 direkodkan di HTAR sehingga semalam membabitkan 63 petugas hospital serta 81 pesakit manakala 65 direkodkan di Hospital Serdang (37 petugas dan 28 pesakit).

Semalam, Selangor merekodkan 441 kes baharu Covid-19 yang mana Klang terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 121 kes.

Ia diikuti Hulu Langat dengan 118 kes; Petaling (90); Kuala Selangor (35); Gombak (31); Kuala Langat (22); Sepang (14); Sabak Bernam (6) dan Hulu Selangor (4).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 1:37pm
    d