mutakhir

PKPD di Pusat Koreksional Jasin hingga 4 Januari 2021

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Pusat Koreksional Jasin dan kuarters kakitangan bermula esok hingga 4 Januari 2021.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan membabitkan 603 tahanan dan 168 kakitangan serta ahli keluarga.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di pusat tahanan itu sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan.

"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi semasa peningkatan kes Covid-19 di Pusat Koreksional Jasin dan kuarters kakitangan.

"Sehingga 19 Disember lalu, KKM melaksanakan 1,251 ujian saringan termasuk saringan kedua serta ketiga dan sebanyak 133 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan secara mendadak jangkitan Covid-19 dalam masa yang singkat di kalangan tahanan di pusat itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

dalam pada itu, beliau berkata, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam Operasi Benteng semalam dan tiga kenderaan darat dirampas.

Katanya, sebanyak 114 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam iaitu Op Penawar (Angkatan Tentera Malaysia, polis dan Rela) sebanyak 43, Op Benteng PDRM, 62 dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) sebanyak sembilan SJR.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 6:01pm
    d