mutakhir

PKPD Flat Persiaran Paya Terubong tamat hari ini

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Persiaran Paya Terubong, Relau di Mukim 13, Pulau Pinang.

PKPD di kawasnai itu bermula sejak 7 Disember lalu dan dijadualkan tamat pada 31 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes positif Covid-19 di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

"Sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 5,585 saringan ke atas penduduk mengikut blok di lokaliti ini dan sebanyak 113 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Flat Persiaran Paya Terubong pada hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan bermula esok hingga 10 Januari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terbabit untuk memastikan tiada jangkitan dalam kalangan komuniti.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara itu juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan.

"Hari ini KKM melaporkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 membabitkan tahanan dan kakitangan di penjara itu.

"Sehingga 22 Disember, KKM sudah melaksanakan 1,086 ujian saringan dan sebanyak 307 kes positif Covid-19 direkodkan iaitu 305 kes dalam kalangan orang kena tahan (OKT) dan dua kes wadar penjara," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP hari ke-285 dan hari ke-201 PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 6:25pm
    d