mutakhir

Norma baharu warga kota

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Orang ramai berwaspada meneruskan rutin harian dengan mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu kota menyaksikan warga kota menjalani rutin harian seperti biasa dengan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal terutama ketika berada di tempat sesak.

Pekerja swasta, Norliza Ishak, 36, mengambil cuti untuk membeli barangan kelengkapan persekolahan anaknya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Katanya, norma baharu sudah menjadi amalan baginya sekeluarga terutama keluar di tempat awam kerana rutin harian tetap perlu diteruskan.

"Dalam situasi Covid-19 masih belum reda ini, kita memang tak boleh elak contohnya macam membeli-belah kelengkapan sekolah anak sudah menjadi rutin wajib setiap penghujung tahun.

"Cuma pengalaman membeli-belah kali ini agak berbeza apabila saya dan anak perlu memakai cecair pembasmi kuman dan pelitup muka selain amalkan penjarakan fizikal apabila di tempat ramai orang.

"Malah, saya amat lega dan selamat apabila pemilik kedai juga menetapkan SOP ketat untuk pelanggan seperti pengambilan suhu badan, pemakaian cecair pembasmi kuman dan mengehadkan bilangan kemasukan pelanggan dalam satu-satu masa bagi mengelak kesesakan dalam kedai," katanya.

Katanya, walaupun sesi persekolahan akan dibuka pertengahan bulan depan, dia selesa membuat persiapan awal berikutan tidak mahu bersesak jika membeli di saat akhir.

Bagi pekerja bank, Nur Atilia Marzuki, 25, pula mengakui masih lagi bimbang keluar ke tempat awam tanpa hala tuju dan hanya keluar untuk keperluan penting dan ke tempat kerja saja.

"Saya tiada pilihan pergi dan balik kerja perlu menaiki tren, namun apa yang saya buat ialah dengan sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan jaga jarak fizikal antara penumpang lain untuk mengelak sebarang risiko jangkitan.

"Saya bernasib baik kerana majikan turut menyediakan makanan tengah hari untuk kakitangan, jadi sekurang-kurangnya pergerakan keluar saya untuk bertembung dengan ramai orang dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, bagi peniaga makanan, Nor Hasniza Baharudin, 32, berkata, mereka memulakan operasi perniagaan seperti biasa dengan memastikan pelanggan memakai cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan suhu badan disukat sebelum dibenarkan masuk ke premis mereka.

"Walaupun pelanggan tidak seramai sebelum Covid-19, kami tetap berwaspada dan mengamalkan SOP ketat kerana tidak mahu menjadi pencetus kluster jangkitan baharu.

"Semakin hari, kami semakin boleh menyesuaikan diri dengan meja disusun lebih satu meter antara satu sama lain dan dihadkan bagi mengelak pelanggan ramai duduk makan dalam satu masa.

"Kami juga menyediakan jarak satu meter bagi pelanggan beratur yang memilih bungkus makanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 31, 2020 @ 4:19pm
    d