mutakhir

1,741 kes baharu, 7 kematian [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kes jangkitan baharu Covid-19 di negara hari ini mencatatkan 1,741 kes baharu dan tujuh kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 120,818 kes dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 22,089 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,010 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 98,228 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 1,733 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 687 kes (39.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 542 kes (78.7 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 303 kes (17.4 peratus) dan Johor sebanyak 295 kes (10.5 peratus).

"Sebanyak 65 kes (4.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan Imigresen," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat pertambahan tujuh kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 501 kes atau 0.41 peratus.

"Sehingga kini, terdapat 122 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM turut mengesan lima kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Duyong, Kluster Pasar Jalan Sentosa, Kluster Jalan Nakhoda, Kluster Telok Mas dan Kluster Ehsan Ibol," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 7:09pm
    d