mutakhir

194 individu ditahan ingkar PKPP

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Seramai 194 individu ditahan semalam dikenakan kompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tangkapan itu dibuat daripada 40,389 pemeriksaan seluruh negara dalam Operasi Pematuhan PKPP diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk 84 kes tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (74), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (25) dan lain-lain (11)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Operasi Benteng juga berjaya menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong serta merampas tujuh kenderaan darat.

"Sebanyak 111 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam membabitkan 61 SJR dalam Op Penawar dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Selain itu, dua Op Benteng dikendalikan PDRM dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) masing-masing 61 dan sembilan SJR," katanya.

Dalam pada itu katanya, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 99,280 individu dari 36 negara direkodkan pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa danditempatkan di 92 pusat kuarantin seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,996 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 90,744 individu dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 6, 2021 @ 6:35pm
    d