mutakhir

Enggan pindah ke PPS takut dijangkiti Covid-19 [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Lapan individu daripada dua keluarga di Kampung Jalan Geale di sini, enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya memasang tiga khemah sejak tiga hari lalu selepas perkarangan rumah mereka dinaiki air separas kira-kira 0.2 meter.

Menurut Shukor Ahmad Ramli, 44, dia dan dua anak saudaranya iaitu Abang Mohd Syakir Muda, 18, dan Mohd Kamarudin Muda, 23, sepatutnya berpindah ke PPS Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Yuk Chai namun mereka mengambil inisiatif memasang khemah, kira-kira 200 meter dari rumah.

Katanya, pada hari pertama dia memasang khemah, anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi nasihat dan menyarankan mereka berpindah ke PPS bagi memastikan keselesaan dan keselamatan.

"Bagaimanapun, kami bertiga memutuskan untuk tinggal di khemah dan enggan berpindah ke PPS sebagai langkah berjaga-jaga daripada penularan Covid-19.

"Pada masa sama, saya juga bimbang rumah dimasuki pencuri jika ditinggalkan dalam tempoh lama. Saya kerap mendengar kes kecurian setiap kali banjir," katanya ditemui di khemahnya yang dipasang di tepi jalan Kampung Jalan Geale hari ini.

Katanya, jika mahu mandi, mereka akan menumpang bilik air di masjid berhampiran.

Sementara itu, Jusoh Che Awang, 55, berkata, dia dan isteri, Rohana Yusof, 52, selain tiga anak mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun enggan berpindah ke PPS kerana berhadapan dengan kesukaran membawa kesemua barangan runcit dijualnya.

"Sejak perkarangan rumah dinaiki air pada Rabu lalu, kami memindahkan kesemua barang runcit yang dijual seperti beras, gula dan telur untuk diletakkan dalam sebuah khemah.

"Justeru itu, kami mengambil keputusan untuk tinggal sementara dalam khemah bersama barangan jualan ini kerana bimbang ia dicuri jika ditinggalkan.

"Pada masa sama, kami sekeluarga juga tidak mahu bersesak dalam PPS kerana bimbang dengan penularan pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 1:56pm
    d