mutakhir

PM umum tindakan kawal Covid-19 Isnin ini [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes Covid-19 mencecah empat angka sejak kebelakangan ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa memantau situasi semasa dan membincangkan pendekatan serta langkah terbaik mengawal penularan itu.

"Kerajaan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19.

"Ini termasuk mempertimbangkan SOP lebih ketat dilaksanakan terutama membabitkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan sekali gus mengurangkan jangkitan Covid-19," katanya dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, satu pengumuman akan dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin ini bagi memaklumkan tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan.

"Kerajaan mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang amat bimbang peningkatan kes kebelakangan ini.

"Kerajaan juga sangat memahami beban tugas petugas kesihatan berikutan peningkatan kes mendadak apatah lagi beberapa negeri ketika ini sedang diuji bencana banjir," katanya.

Katanya, walaupun SOP menghadapi bencana banjir diperketatkan tetapi sudah pasti ramai bimbang banjir akan menjadi penyebab peningkatan kes Covid-19.

Beliau berharap semua mematuhi SOP ditetapkan dan mendoakan keselamatan bersama.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 5:42pm
    d