mutakhir

PKPD di 3 kawasan di 3 negeri dilanjutkan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan di Negeri Sembilan, Johor Bahru dan Kota Tinggi susulan masih merekodkan kes baharu positif Covid-19.

Kawasan PKPD berkenaan masing-masing di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan; Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan Batu 19 Jalan Ulu-Choh-Pontian, Johor Bahru serta Dewa Arena Segitiga Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di kawasan berkenaan yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 24 Januari.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 1,694 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 459 kes positif direkodkan di penjara Jelebu dan kuarters kakitangan penjara berkenaan.

"Malah, masih terdapat 803 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Pusat Koreksional Johor Bahru pula merekodkan 516 kes positif Covid-19 daripada 1,376 ujian saringan yang dilakukan.

Katanya, KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di pusat tahanan itu masih lagi tinggi dan banyak kes baru dikesan selepas saringan kedua dilaksanakan.

"Bagi PKPD di Dewan Arena Segitiga pula, sebanyak 164 kes positif direkodkan daripada 171 ujian saringan dilakukan. Kadar positiviti di lokaliti berkenaan sangat tinggi dan kes terakhir yang direkodkan adalah semalam," katanya.

Katanya, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di semua kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 6:36pm
    d