mutakhir

Tak boleh semua 800 katil Hospital Melaka untuk pesakit Covid-19

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Keseluruhan 800 katil di Hospital Melaka tidak boleh dikhususkan hanya untuk pesakit Covid-19, sebaliknya hanya 214 yang mampu disediakan untuk itu.

Walaupun pesakit pandemik berkenaan kian meningkat, baki katil sedia ada harus disediakan untuk pesakit lain yang juga memerlukan rawatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, tindakan menghantar pesakit Covid-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor mulai hari ini adalah langkah terakhir dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di hospital itu.

"Jumlah katil sedia ada tidak dapat menampung peningkatan pesakit Covid-19 kerana kita juga harus menyediakan katil untuk pesakit lain.

"Kita tidak boleh jadikan seluruh Hospital Melaka semata-mata untuk pesakit Covid-19, apa akan jadi dengan pesakit lain?" katanya selepas menyampaikan baucer buku kepada 28 murid dalam kariah Masjid Tanah di Masjid al-Sultan Abdullah, di sini, hari ini.

Selain menyampaikan baucer bernilai RM100 sumbangan masjid, Sulaiman turut menambah RM100 wang tunai sumbangan peribadi kepada mereka bagi meringankan beban ibu bapa mengeluarkan kos persekolahan anak masing-masing.

Sulaiman mengulas kenyataan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman mengenai kerajaan negeri mengambil tindakan menghantar semua pesakit Covid-19 yang sedang dikuarantin di Hospital Melaka ke PKRC di MAEPS mulai hari ini.

Sehubungan itu, Sulaiman menggesa anggota komuniti di negeri ini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Usaha kita untuk memutuskan rantaian pandemik itu tidak akan berjaya jika anggota komuniti berdegil tidak mahu mematuhi SOP dan gemar pergi ke tempat sesak dengan orang ramai," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia menghadapi kemungkinan langkah yang bakal diambil Kerajaan Pusat bagi menangani pandemik berkenaan melalui pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

Katanya, penularan Covid-19 dalam kalangan banduan di Pusat Koreksional Jasin dan pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah tiga minggu lalu sudah berjaya diatasi.

Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap bimbang dengan peningkatan kes positif Covid-19 di peringkat kebangsaan dan negeri.

Semalam sebanyak 50 kes positif Covid-19 dicatatkan di negeri ini dengan 47 kes tempatan dan baki tiga kes import.

Kluster yang masih aktif ialah Kluster Teknologi Kesidang, Rambai, Telok Mas dan Anak Air.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 12:41pm
    d