mutakhir

Tiada pembelian 'luar biasa' di Sabah

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Bekalan keperluan asas di Sabah mencukupi di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit tanpa sebarang pembelian luar biasa pengguna dikesan.

Perkembangan itu diperoleh hasil pemeriksaan di premis perniagaan tumpuan pelanggan yang dijalankan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh daerah di Sabah.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, pemeriksaan oleh pasukan pemantau KPDNHEP kelmarin dan hari ini, mendapati tidak berlaku pembelian panik di 192 premis pasar awam, 13 pasar raya serta 140 kedai runcit dan pasar mini di Sabah.

Katanya, antara barangan yang sentiasa dipantau membabitkan bekalan barangan keperluan asas termasuk barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.

"Pemantauan ini dilakukan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020 sehingga kini, yang mana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat masih lagi berkuat kuasa sehingga 14 Januari 2021 di Sabah.

"Seramai 200 pegawai penguat kuasa dan 90 pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah terbabit di dalam tugas-tugas pemantauan ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, KPDNHEP Sabah juga akan terus memastikan peniaga-peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan melalui pemeriksaan harian yang dilaksanakan.

Katanya, KPDNHEP Sabah turut melantik 170 peruncit daerah terpilih dan 89 pemborong daerah terpilih di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di negeri ini.

"Kedudukan bekalan barang keperluan asas berdasarkan peruncit dan pemborong yang dilantik di setiap daerah di Sabah ini akan menjadi penanda aras ke atas bekalan barang keperluan asas di daerah-daerah berkenaan.

"Ketika PKPB yang berkuat kuasa pada 1 Januari hingga 14 Januari 2021, KPDNHEP Sabah mengaktifkan bilik gerakan di seluruh cawangan untuk menerima sebarang aduan dan pertanyaan khususnya berkaitan dengan bekalan dan harga barangan," katanya.

Katanya, bilik gerakan pejabat KPDNHEP Sabah di Kota Kinabalu beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam manakala bilik gerakan di pejabat cawangan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang.

"Berikut adalah nombor-nombor telefon Bilik Gerakan KPDNHEP Sabah, iaitu Kota Kinabalu 088-484368, Sandakan 089-668107, Tawau 089-776690, Beaufort 087-222240, Keningau 087-338401, Kudat 088-615311, Tuaran 088-787822, Lahad Datu 089-886090 dan Semporna 089-782855.

"Oleh kerana kedudukan bekalan barangan keperluan asas dan barang kawalan yang mencukupi, pengguna dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 4:38pm
    d