mutakhir

Menteri Kabinet diarah jalani saringan Covid-19

Oleh Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Semua menteri Kabinet akan menjalani ujian saringan Covid-19 susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, disahkan positif virus itu.

Selain menteri Kabinet, turut diminta menjalani ujian saringan ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain semua yang hadir dalam mesyuarat parti itu pada Rabu lalu.

Perkara itu disahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi dengan menjelaskan semua menteri Kabinet diminta berbuat demikian esok.

Mustapha menghadiri mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Rabu lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, pula berkata, ahli MPT serta semua yang hadir semasa mesyuarat itu diarahkan untuk mengambil ujian pengesanan Covid-19 serta-merta.

Selain itu katanya, mereka juga diminta dan mengambil langkah yang perlu berdasarkan prosedur operasi standrd (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian ketika tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur semalam.

Sehingga kini, beliau menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 10:24pm
    d