mutakhir

Menteri KPWKM positif Covid-19

Oleh Rafidah Mat Ruzkifidah

Putrajaya: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun disahkan positif Covid-19, selepas memperoleh keputusan ujian saringan malam tadi.

Pengesahan itu diperoleh selepas dua hari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed positif Covid-19.

Pejabat KPWKM dalam kenyataan memaklumkan Rina, 47, menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya, pagi semalam dan beliau sudah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada jam 11 pagi hari ini.

Kata kenyataan itu, Ahli Parlimen Titiwangsa berkenaan akan mematuhi segala garis panduan berkaitan jangkitan Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Beliau memohon maaf jika perkara ini telah menimbulkan apa jua kesulitan dan keresahan kepada semua (pihak) dan memohon agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan untuk semua yang terlibat.

"Beliau juga akan pastikan, semasa ketiadaannya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan kerja-kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan untuk kumpulan sasar dan segala urusan pengoperasian Kementerian akan tetap berjalan seperti biasa," kata kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan, semua menteri Kabinet perlu menjalani ujian saringan Covid-19 susulan Mustapa yang disahkan positif Covid-19.

Turut diarahkan menjalani ujian saringan ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan semua yang hadir dalam mesyuarat parti itu, Rabu lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi turut mengesahkan ujian saringan yang perlu dijalani itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 11:58am
    d