mutakhir

Kerajaan meterai perjanjian dengan Pfizer Malaysia

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan hari ini bagi memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengeluarkan dan membekalkan vaksin Covid-19 Pfizer di negara ini.

Perjanjian itu lanjutan kepada perjanjian 'Binding Heads of Terms' (perjanjian awal untuk mengikat terma) yang ditandatangani pada 24 November lalu.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan perjanjian dimeterai secara maya oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mewakili kerajaan Malaysia dan Pengurus Negara Pfizer (Malaysia dan Brunei) Luksanawan Thangpaibool bagi pihak Pfizer pada jam 10.30 pagi tadi.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Ketua Pasaran Baru Muncul Asia Pfizer Anil Argilla.

Berucap pada majlis itu Dr Adham berkata, kerajaan Malaysia menghargai sokongan diberi oleh Pfizer dan berharap bekalan vaksin akan tiba di negara ini lebih awal.

Argilla pula berkata, Pfizer komited memastikan bukan sahaja akses kepada vaksin tetapi juga bekerja bersama bagi mengakhiri pandemik.

"Ini merupakan satu langkah ke depan yang memberikan keupayaan untuk mengawal dan juga kemungkinan menamatkan terus penularan pandemik ini di Malaysia," katanya.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung bulan Februari 2021 meliputi peratus populasi penduduk Malaysia dengan dua dos seorang.

Perjanjian yang dimeterai pada hari ini untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh negara.

Kerajaan juga bersetuju membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos yang menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos meliputi peratus populasi penduduk Malaysia dan akan diterima sepanjang tahun 2021.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 1:59pm
    d