mutakhir

PKP: KKM sambut baik keputusan kerajaan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai negeri yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia selaras dengan langkah proaktif kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia.

"Diharapkan segala usaha yang dijalankan oleh semua pihak akan dapat menjadi circuit breaker dan memutuskan rantaian jangkitan serta penularan Covid-19 di dalam negara kita ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 26 Januari depan.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, PKPB bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 7:42pm
    d