mutakhir

Feri Langkawi-Kuala Perlis dihentikan sepanjang PKPB

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Perkhidmatan feri keluar masuk antara Pulau Langkawi dan Kuala Perlis dihentikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Berikutan itu, hanya satu trip perjalanan pergi dan balik dari Kuala Kedah ke Langkawi akan beroperasi selama dua minggu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Ferry Line Ventures (Ferry Line) Sdn Bhd Kapten Baharin Baharom berkata, jadual perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah beroperasi hanya pada 9.30 pagi (Rabu), 10.30 pagi (Khamis), 11 pagi (Jumaat), 12 tengah hari (Sabtu dan Ahad), 1.30 tengah hari (18 Januari hingga 22 Januari) dan 9 pagi (24 Januari hingga 26 Januari).

Menurutnya, bagi perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi pula trip perjalanan pada 4 petang (Rabu dan Khamis), 5.30 petang (Jumaat hingga 23 Januari), 7 malam (24 dan 25 Januari) dan 2.30 petang (26 Januari).

"Berikutan itu, penumpang yang sudah membuat pembelian tiket di kaunter boleh menuntut balik bayaran di kaunter.

"Bagi pembelian secara dalam talian perlu menghantar emel seperti alamat yang tertera pada boarding pas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang hendak berurusan ke Langkawi hanya boleh melakukannya di Terminal Kuala Kedah sahaja.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula tengah malam ini.

Enam negeri lagi, Pahang, Perak, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan kes Covid-19.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 1:51pm
    d