mutakhir

Trend pembelian meningkat 50 peratus - KPDNHEP Pulau Pinang [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mendapati trend pembelian barangan keperluan meningkat sehingga 50 peratus di beberapa kawasan di negeri ini sejak tiga hari lalu.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, situasi itu didorong maklumat mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disamping juga ada yang ingin membuat persiapan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, katanya, tiada pembelian panik dilaporkan berlaku dan bekalan makanan khususnya barangan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur, roti putih dan ayam juga sentiasa mencukupi.

"Memang kita dapati selepas ramai yang mendapat maklumat bahawa kerajaan ingin melaksanakan PKP, maka trend pembelian meningkat berbanding kebiasaan.

"Situasi itu masih terkawal dan barang-barang keperluan juga mencukupi bahkan pihak kami memberi jaminan apabila PKP yang dikuatkuasakan esok, semua bekalan akan sentiasa cukup," katanya pada sidang media selepas mengadakan pemantauan barangan di sebuah pasar raya di Alma di sini, hari ini.

Menurutnya, KPDNHEP negeri meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan sejak Sabtu lalu bagi memantau sama ada terdapat pembelian luar biasa dalam kalangan pengguna.

"Ketika pemeriksaan dijalankan didapati peningkatan pembelian barangan isi rumah meningkat bagi menghadapi persediaan menyambut Tahun Baharu Cina serta barangan keperluan menghadapi tempoh PKP.

"Pengguna diingatkan supaya tidak bimbang apatah lagi kita pernah melalui situasi PKP sebelum ini dan barangan sentiasa mencukupi.

"KPDNHEP ingin mengingatkan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menyorok barangan sepanjang PKP dan peniaga juga boleh berhubung terus dengan pihak kita jika berlaku sebarang masalah terutamanya berkaitan dengan bekalan barangan semasa penguatkuasaan PKP nanti," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, selain bekalan makanan pihaknya juga membuat pemantauan ke atas barangan lain seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 6:10pm
    d