mutakhir

Meronda nak tengok persiapan PKP, katanya... [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Keluar tengah malam dengan alasan untuk melihat suasana persediaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Itu antara alasan sebilangan pengguna jalan raya ketika ditahan untuk pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Persiaran Kota, berhadapan bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam tempoh satu jam pertama awal pagi tadi.

Tinjauan wartawan di lokasi juga mendapati, jumlah kereta agak banyak malah beberapa pengguna jalan raya ditahan untuk pemeriksaan kerana mempunyai lebih dari dua individu dalam satu kenderaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya berharap orang awam terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan kerajaan.

"Sepanjang tempoh satu jam pertama di SJR di susur keluar MPK ini, kita dapat masih ada sebilangan kecil masyarakat yang masih belum bersedia untuk patuh kepada SOP ini yang mana, ada beri alasan tidak tahu, ada juga bagi alasan keluar untuk meronda di tengah malam bagi melihat keadaan persediaan pihak PDRM itu sendiri.

"Setakat ini, saya dapat boleh dikatakan kebanyakan kenderaan patuh kepada SOP, manakala sebilangan kecil mempunyai alasan yang boleh diterima. Setakat ini tiada yang diarahkan berpatah balik," katanya ketika ditemui di SJR terbabit awal pagi tadi.

Dalam pada itu katanya, secara keseluruhannya, di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, pihaknya mengadakan lima SJR statik 24 jam.

"Lima SJR ini didirikan di sempadan daerah untuk laluan keluar kawasan pentadbiran Klang Selatan termasuk di susur keluar MPK, Jalan Langat iaitu jalan keluar dari Klang Selatan ke Banting, Lebuhraya Klang Shah Alam (Kesas) iaitu laluan Klang ke Shah Alam.

"Terdapat juga dua SJR di laluan dalam iaitu Jalan Datuk Sidin dan Jalan Sungai Udang di Kampung Delek.

"Tiga SJR secara bergerak juga diadakan di kawasan yang dijangkakan itu menjadi tumpuan orang ramai iaitu di kawasan Bukit Tinggi, Sentosa dan kawasan berhampiran," katanya.

Mengulas lanjut katanya, empat jalan ditutup sepenuhnya iaitu Jambatan Musaeddin, Jalan Tengku Kelana, Klang, Jambatan Raja Muda Nala, Klang, Jambatan Besi (Pengkalan Batu) dan Jambatan Raja Zainal (Jalan Bukit Badak).

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan penguatkuasaan di lokasi tumpuan orang awam dan memastikan SOP PKP dipatuhi.

"Sekiranya didapati tiada pematuhan itu, kita akan kenakan kompaun kepada mana-mana yang tidak patuh SOP.

"Jika tiada keperluan untuk keluar, duduk di rumah dan sama-sama kita berjuang untuk memutuskan rangkaian Covid-19," katanya.

Sementara itu katanya, sejak jam 4 petang semalam hingga malam tadi, IPD Klang Selatan tidak putus-putus dikunjungi orang awam untuk mendapatkan surat kebenaran rentas daerah dan negeri.

"Rata-rata untuk tujuan bekerja, kebanyakan mereka memberitahu ada surat kebenaran polis lebih terjamin perjalanan pergi dan balik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 9:07am
    d