mutakhir

PKP: Solat Jumaat, fardu ditangguh, akad nikah secara sidang video - JAIS

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pelaksanaan solat Jumaat di semua masjid dan surau kebenaran Jumaat di Selangor ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini hingga 26 Januari.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, bagaimanapun, bagi lima orang petugas masjid dan surau kebenaran Jumaat yang dijadualkan bertugas boleh mendirikan solat Jumaat sesuai dengan keharusan mendirikan solat itu pada bilangan kecil yang terhad.

Katanya, sebagai ganti, umat Islam di Selangor perlu menunaikan solat fardu Zohor di kediaman masing-masing.

"Bagi solat fardu lima waktu berjemaah, hanya lima orang dalam kalangan pegawai atau ahli jawatankuasa dibenarkan berjemaah pada satu-satu waktu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, susulan pelaksanaan PKP, perkhidmatan yang ditawarkan oleh JAIS kepada pelanggan akan disesuaikan dengan situasi semasa.

Jelasnya, perkhidmatan utama JAIS khususnya yang membabitkan urusan nikah, cerai dan rujuk dilaksanakan secara atas talian dengan 10 kaunter talian telefon dibuka di One Stop Centre di Bangunan Sultan Idris Shah untuk konsultasi perkhidmatan dan urusan janji temu.

"Pelanggan boleh menghubungi talian 03-5514 3600 atau 03-5514 3400 sepanjang waktu pejabat dibuka (Isnin hingga Jumaat).

"Sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan juga boleh e-mel ke info@jais.gov.my dan Hotline Penguatkuasaan dibuka bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam," katanya.

Beliau berkata, majlis akad nikah pula akan dilaksanakan secara sidang video dan hanya kepada pasangan yang sudah mendapat Kebenaran Berkahwin dan janji temu tarikh akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau di masjid pengurusan.

Katanya, pelaksanaan secara sidang video akan dilakukan oleh pendaftar yang akan berada di PAID, manakala pengantin, wali serta dua saksi berada di rumah.

"Pegawai Tadbir Agama (PTA) setiap daerah akan menetapkan pelaksanaan majlis akan nikah berdasarkan janji temu yang sudah diatur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 9:24am
    d