mutakhir

Bekas banduan disaman di SJR

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Bekas banduan disaman dalam sekatan jalan raya (SJR) polis dekat Batu Maung di sini, pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hari ini.

Lelaki berusia 34 tahun yang memiliki 43 rekod lampau berkait dadah dan jenayah itu ditahan bersama kenalannya ketika hendak pulang ke rumah di Batu Kawan pada 1 pagi.

Lelaki itu disaman kerana memandu kenderaan yang tiada perlindungan insurans serta lesen memandu dan cukai jalan yang tamat tempoh.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden A A Anbalagan berkata, kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki kereta Proton Wira kelihatan mencurigakan ketika berada di sekatan jalan.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki terbabit baru dibebaskan dari penjara pada September tahun lalu dan masih berada dalam pengawasan polis.

"Rakannya yang juga berusia 37 tahun turut memiliki 19 rekod lampau bersangkut dadah dan jenayah.

"Lelaki terbabit memberi alasan menghantar kuih di kawasan Batu Maung sebelum pulang ke rumah di Batu Kawan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua lelaki itu didapati negatif daripada pengambilan bahan larangan.

"Lelaki terbabit mendakwa bahawa kenderaan yang dinaiki adalah kereta pinjam daripada rakan dan tidak memiliki cukai jalan.

"Pemandu diberikan saman dan dinasihati supaya mematuhi undang-undang jalan raya," katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 3:04pm
    d