mutakhir

PKPB: MAIDAM salur bantuan khas RM9.6 juta

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) memperuntukkan bantuan khas sebanyak RM9.6 juta untuk membantu meringankan beban golongan asnaf yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, 24,000 golongan asnaf yang terkesan susulan PKPB akan menerima bantuan khas antara RM300 dan RM500 setiap Ketua Isi Rumah (KIR).

Jelasnya, pengagihan bantuan khas itu akan dimasukkan terus ke akaun KIR selewat-lewatnya Rabu depan.

"Bantuan khas yang akan disalurkan tidak membabitkan pemotongan bantuan bulanan dan bantuan sara hidup.

"Bantuan khas itu diluluskan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf yang turut terkesan berikutan bencana banjir dan PKPB seperti diumumkan kerajaan, semalam," katanya ketika mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Yang turut hadir adalah Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Zakat, Nazli Amirri Ngah.

Mengulas lanjut, M Rozi menjelaskan, kaedah pengagihan bergantung kepada jumlah tanggungan.

"Mereka yang mempunyai tanggungan melebihi tiga orang akan menerima sebanyak RM500 manakala kurang dari tiga tanggungan menerima RM300.

"Ahli majlis mesyuarat MAIDAM memutuskan meluluskan bantuan khas selepas mengambil kira bebanan terpaksa dihadapi golongan asnaf yang terkesan susulan bencana banjir dan terbaharu PKPB diumumkan kerajaan membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 4:06pm
    d