mutakhir

PKP kali ke 2, peniaga lebih tenang dan bersedia

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Pengalaman berdepan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, membolehkan ramai golongan peniaga lebih bersedia menghadapi PKP yang dikuatkuasakan di Selangor sehingga 26 Januari depan.

Pengurus Restoran The Scene, Ahmad Norman Khalis Ahmad Fara, 31, berkata, pihaknya segera menyusun meja serta kerusi di satu sudut khas di restorannya itu susulan arahan PKP kali kedua diumumkan Isnin lalu.

"Saya mengambil keputusan membuat persediaan awal malam kelmarin memandangkan pelanggan hanya boleh membeli makanan yang dibungkus sahaja.

"Kebanyakan peniaga mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memastikan tiada pelanggan makan di dalam premis," kata yang berniaga di sebuah kompleks beli belah di Pusat Bandar Shah Alam di sini, tadi.

Katanya, PKP kali ini memberikan sedikit kelonggaran kepada orang ramai dan peniaga untuk terus beroperasi.

"Ini melegakan kami sebagai pengusaha restoran dan kedai makan berikutan masih ramai individu dibenarkan bekerja dan keluar rumah.

"Jika dibandingkan sebelum ini, keadaan PKP tahun lalu lebih sukar dan kurang pelanggan. Kami hanya mengharapkan tempahan dan penghantaran," katanya.

Sementara itu pembantu restoran Satay Kajang Hj Samuri, Dani Darma, 27, berkata, pihaknya mematuhi arahan ditetapkan dengan melakukan persiapan awal sekaligus memudahkan operasi restoran itu.

"Kali ini kami lebih bersedia berikutan sudah ada pengalaman PKP pada tahun lalu. Jadi kami tidak terlalu terkejut.

"Kami sediakan kerusi yang disusun pada jarak yang ditetapkan bagi pelanggan yang menunggu tempahan, setakat ini semua pelanggan patuh," katanya ketika ditemui di restorannya di sebuah kompleks beli belah di sini.

Sementara itu, bagi pengusaha restoran Blana Corner yang terletak U12, Mohd Bukhari Zainal, kelonggaran orang ramai dapat bekerja membolehkan ramai pelanggan datang ke restorannya.

"Sebelum ini memang perniagaan 'sakit' berikutan ramai bekerja dari rumah, sekarang sudah ada sedikit longgar jadi memudahkan kami berniaga, sekurang-kurang ada juga pelanggan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 7:15pm
    d