mutakhir

PKP: Ibu negara lengang, sunyi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini menyaksikan ibu negara lengang dan sunyi sejak 9 malam tadi.

Tinjauan Harian Metro di beberapa jalan utama di sekitar ibu negara mendapati kebanyakan kawasan sunyi dan tidak banyak kenderaan di kawasan berkenaan.

Ia menunjukkan masyarakat menjalankan tanggungjawab mereka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak Covid-19.

Seorang anggota polis (nama tidak dapat didedahkan) yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) berkata, kenderaan mula berkurangan pada jam 7 malam iaitu waktu puncak rakyat Malaysia pulang dari kerja.

"Jika dibandingkan pelaksanaan PKP pertama dulu, jumlah kenderaan PKP kali kedua lebih banyak namun beransur berkurangan selepas tamat waktu bekerja.

"Sekarang ini (9 malam) memang sepi dan sunyi, jika ada kenderaan pun boleh dibilang, kebanyakan kenderaan pada malam hari adalah kenderaan komersial," katanya.

Katanya, situasi berbeza pada waktu siang apabila ramai yang melalui SJR untuk ke tempat kerja masing-masing.

"Pada petang tadi memang agak banyak kenderaan yang melalui SJR kerana banyak sektor yang dibenarkan beroperasi.

"Namun disebabkan banyak premis perniagaan tutup pada jam 8 malam, jumlah kenderaan sudah berkurangan malah hampir tiada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 10:36pm
    d