mutakhir

Data klinikal vaksin Sinovac akan dikaji

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Semua perolehan vaksin ke negara ini tertakluk kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya kerajaan tidak berpuas hati dengan keselamatan serta keberkesanannya, pihaknya tidak akan mengambil vaksin terbabit.

Katanya, ia termasuklah vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech.

"Data klinikal Sinovac baru saja dikeluarkan. Kami akan mengkaji data berkenaan sebelum memutuskan (untuk mengambil atau sebaliknya).

"Inilah sebabnya mengapa strategi kami menjadi portfolio dalam vaksin," katanya dalam ciapan di Twitter.

Selain itu, Khairy berkata, bagi memastikan negara ini mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi serta mengurangkan masalah kawal selia dan pembuatan, kerajaan akan memperoleh vaksin lebih daripada satu sumber.

"Tambahan pula tidak ada lagi pengeluar yang dapat memenuhi semua keperluan dan ini sama dengan kebanyakan negara," katanya.

Sementara itu, dalam ciapannya yang berlainan, Khairy turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Indonesia kerana memperoleh vaksin Sinovac lebih awal.

"Selamat maju jaya kepada Indonesia. Indonesia dapat vaksin Sinovac awal sebab menjadi negara di mana vaksin berkenaan diuji dalam ujian klinikal sebelum didaftar.

"Brazil, Turki juga buat ujian klinikal Sinovac sebab jumlah kes mereka yang tinggi tahun lalu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan ujian klinikal Brazil mendapati vaksin Sinovac yang dikeluarkan oleh China berkesan 50.4 peratus.

Bulan lalu, menerusi vaksin yang sama Turki mengatakan ia berkesan sebanyak 91.25 peratus manakala di Indonesia 65.3 peratus keberkesanannya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 11:31am
    d