mutakhir

Industri pelancong Melaka `tenat' seketika

Oleh Amir Mamat

Melaka: Sebanyak 664 produk pelancongan di Melaka dijangka berhadapan situasi sukar dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula kelmarin.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (BPP) Jabatan Ketua Menteri, Saari Basiron berkata, ini berikutan semua 13 produk menerusi sub sektor pelancongan di negeri ini tidak dibenarkan beroperasi susulan arahan kerajaan itu.

Katanya, sub sektor pelancongan yang terjejas adalah sejarah, budaya, rekreasi, konvesyen, sukan dan beli-belah, selain kesihatan, pendidikan, agro pelancongan, industri makanan, 'Melaka My Second Home', pelancongan belia dan ekopelancongan.

Bagaimanapun, katanya, sektor perhotelan adalah satu-satunya bahagian yang tidak termasuk dalam larangan berkenaan.

"Sebanyak 405 hotel bertaraf orkid (hotel bajet) sehingga lima bintang dibenarkan beroperasi seperti biasa dalam tempoh PKP kali ini dan semua industri perhotelan masih beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya semalam.

Beliau berkata, semua industri pelancongan berdepan risiko akibat penutupan operasi, namun terpaksa akur dengan arahan kerajaan dipatuhi selain memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak, khususnya pengunjung sentiasa terjamin.

Beliau berkata, situasi agak sukar dalam tempoh dua minggu ini kepada industri pelancongan, namun demi melandaikan lekuk kes Covid-19, beliau yakin semua pemain industri terbabit terpaksa mematuhinya.

"Kita dapat sahkan, antara yang paling terjejas adalah Zoo Melaka kerana taman dinasor atau Dinosaur Encounter Park' baharu saja beroperasi beberapa bulan lalu, selain Melaka River Cruise serta Taman Mini Malaysia dan Budaya ASEAN juga terpaksa menutup operasi sementara," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemain industri pelancongan di negeri ini supaya bersabar dan berharap `ada cahaya di hujung jalan' dalam memastikan sektor terbabit terus berkembang sejurus tamat PKP kali ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 5:36pm
    d