mutakhir

Jangan panik, masih boleh bernikah di Nogori Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Majlis akad nikah di Negeri Sembilan dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan bilangan kehadiran dalam majlis itu tidak melebihi 30 orang.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, bagaimanapun majlis jamuan makan selepas majlis akad nikah tidak dibenarkan.

Katanya, setiap tetamu atau jemaah yang hadir pada majlis akad nikah itu perlu membuat imbasan Kod QR MySejahtera di pintu masuk utama masjid atau surau yang digunakan.

"Hanya majlis akad nikah dibenarkan, jamuan makan atau minum selepas akad nikah adalah dilarang. Warga emas dan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun tidak digalakkan hadir ke majlis kecuali wali dan ibu bapa pengantin.

"Mereka yang menggunakan masjid atau surau untuk majlis akad nikah wajib mematuhi SOP (prosedur operasi standard) bagi mengelakkan sebarang masalah," katanya semalam.

Katanya, pihak masjid pula perlu bertindak tegas dalam melaksanakan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Mohd Zaidi memaklumkan bahawa solat fardhu Jumaat akan dilaksanakan seperti biasa mengikut kapasiti ruang solat yang dibuka pihak masjid namun kanak-kanak bawah usia 15 tahun tidak dibenarkan.

Beliau menggesa pihak masjid atau surau supaya melakukan sanitasi di ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas serta tempat wuduk sekurangnya sekali seminggu.

"Tindakan ini penting sebagai usaha kita untuk membendung dan memutuskan rantaian wabak pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 5:49pm
    d