mutakhir

389 individu langgar PKP ditahan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 389 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 371 individu dikenakan kompaun manakala 18 orang direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka seramai 149 orang, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (61), membawa penumpang berlebihan (27) dan aktiviti pusat hiburan (16).

"Kesalahan lain adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (9), aktiviti perjudian (8), membawa pekerja asing tanpa permit (7), makan dan minum di premis tanpa kebenaran (3), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (16)," katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 138 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan enam tekong ditahan serta 13 kenderaan darat dirampas.

Katanya, sebanyak 267 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam yang membabitkan Op Penawar (202), Op Benteng Polis Diraja Malaysia (56) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (9).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 103,140 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya ditempatkan di 82 hotel serta 16 institut latihan awam termasuk institusi pengajian swasta.

Katanya, daripada jumlah itu, 7,963 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 94,637 individu sudah dibenarkan pulang.

Mengenai berita palsu berkaitan Covid-19, beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 275 kertas siasatan dibuka oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 138 masih dalam siasatan manakala 35 kes didakwa di mahkamah iaitu 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

"Dalam masa sama, 420 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 7:57pm
    d