mutakhir

Penumpang luar Kedah perlu surat kebenaran polis untuk ke Langkawi [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Penumpang feri terutama dari luar negeri ini yang hendak memasuki Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah yang tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri tidak dibenarkan menaiki feri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tindakan tegas perlu diambil untuk membendung penularan Covid-19 ke pulau itu.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan Rabu lalu, perjalanan feri hanya dibenarkan melalui Kuala Kedah sahaja, manakala laluan dari Kuala Perlis ditutup bagi mengelak pergerakan rentas negeri.

"Pasukan Pemantau Covid akan melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan terminal feri ketika penumpang hendak menaiki feri bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Semua penumpang perlu memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera dan berada pada jarak kira-kira satu meter ketika berada di terminal selain memakai pensanitasi tangan," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, meskipun pergerakan di terminal feri ke Langkawi sudah dikurangkan kepada satu trip perjalanan sehari, namun setiap pergerakan memerlukan surat kebenaran kerana kebanyakan pengunjung ke sana terdiri dari luar Kedah.

Bagaimanapun, tapisan mungkin sudah dilakukan ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) dan beliau percaya tidak ramai pengunjung dari luar negeri ini akan pergi ke Langkawi dalam tempoh PKPB ini.

"Namun, jika ada penumpang dari luar Kedah yang tidak mempunyai surat kebenaran, mereka tidak dibenarkan menaiki feri dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd menghentikan perkhidmatan perjalanan feri dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis bermula semalam berikutan pelaksanaan PKPB.

Setiap hari, hanya satu trip perjalanan pergi dan balik ke Langkawi beroperasi di Terminal Kuala Kedah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 10:08am
    d