mutakhir

Sokong sukarelawan jalani ujian saringan Covid-19 sebelum turun padang

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyRaudhah menyambut baik saranan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggalakkan petugas membuat saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum menjalankan program khidmat masyarakat di kawasan bencana.

Pengasas MyRaudhah, Datuk Ruhaidini Abd Kadir berkata, langkah itu dapat memastikan setiap sukarelawan sama ada NGO atau individu itu tidak membawa gejala Covid-19 ke kawasan musibah banjir hingga menimbulkan masalah lain kepada mereka yang sudah menghadapi saat getir.

Beliau berkata, MyRaudah turun padang menerusi bantuan pasca banjir dengan misi meringankan beban mangsa banjir khususnya di kawasan pedalaman.

"Seramai 40 sukarelawan MyRaudah yang berpusat di ibu negara berkampung selama tiga hari di Temerloh bermula semalam.

"Aktiviti pembersihan pasca banjir dilakukan di beberapa kediaman dan masjid, pembersihan wakaf di tanah perkuburan serta penyampaian sumbangan barangan kepada 12 keluarga mangsa banjir.

"Hari ini, sukarelawan MyRaudhah turut bergotong-royong membersihkan masjid di Kampung Kelola di Mukim Pulau Tawar yang juga masjid tertua di tebing Sungai Pahang," katanya.

Pada proram berkenaan, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris turut melancarkan pertubuhan MyRaudhah secara rasmi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 7:35pm
    d