mutakhir

'Sediakan ujian calitan percuma kepada sukarelawan'

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Kerajaan disaran menyediakan ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada sukarelawan dari zon merah yang ingin memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, saringan percuma itu boleh dilakukan dengan menyediakan pusat sehenti di pintu masuk negeri bagi menyekat penularan wabak itu, sekali gus mengiktiraf usaha murni sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) atau individu.

"Ujian saringan Covid-19 wajar diberikan secara percuma memandangkan NGO ini melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang tenaga dan wang ringgit tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

"Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai NGO untuk turun padang memberi bantuan di kawasan ditimpa bencana, sekali gus mendidik semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan peralatan membersih sumbangan NGO, MyRaudah dan program gotong-royong membersihkan Masjid Kampung Kelola di mukim Pulau Tawar, hari ini.

Hadir sama, Pengasas MyRaudah, Datuk Ruhaidini Abd Kadirdan bersama 40 sukarelawan dari Kuala Lumpur.

Ahmad Nazlan berkata, bencana banjir kali ini membuktikan sikap rakyat Malaysia yang amat prihatin apabila mereka mengambil berat terhadap nasib rakyat lain yang ditimpa bencana.

Beliau berkata, banyak NGO, badan korporat dan sukarelawan melahirkan hasrat untuk datang ke Pahang termasuk Jerantut untuk menyampaikan pelbagai bantuan barangan disamping bergotong-royong membersihkan kawasan terjejas.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 7:42pm
    d