mutakhir

Pematuhan SOP PKP di Sabah merosot

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Tahap pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Sabah masih rendah, malah menunjukkan penurunan.

Ia berikutan purata pematuhan keseluruhan pada hari ini hanya 93 peratus di semua 19 daerah yang dipantau, berbanding purata 93.5 peratus yang dicatatkan semalam dan 93.75 peratus pada hari pertama PKP, kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, situasi itu sangat membimbangkan dan tidak sepatutnya dipandang mudah.

"Hari ini, semua daerah mencatat kadar pematuhan SOP sebanyak 93 peratus saja. Kita tidak tahu sama ada orang ramai terkejut apabila PKP dilaksanakan menyebabkan ramai keluar atau tidak peduli dengan bahaya Covid-19.

"Sebelum ini, kalau kita ke bandar, kita lihat rakyat seperti sudah leka seolah-olah tiada masalah besar berlaku di negeri kita sedangkan kita berdepan masalah yang serius," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah di sini, hari ini.

Semua 19 daerah yang terbabit dalam pemantauan SOP PKP di Sabah ialah Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Papar, Kota Belud, Kinabatangan, Kudat, Beaufort, Kunak, Semporna, Kota Marudu, Beluran, Ranau, Tuaran, Keningau, Tenom dan Sipitang.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, berikutan tahap pematuhan yang masih rendah itu, pihak polis akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi terhadap sesiapa yang dikesan melanggar SOP.

"Saya ada berbincang dengan Pesuruhjaya Polis Sabah hari ini dan beliau memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap semua pelanggaran SOP yang dikesan.

"Apa yang penting kita perlu sama-sama menjaga diri dan keluarga kita serta semua yang ada di sekeliling kita kerana kita sekarang berdepan dengan ancaman virus yang boleh membunuh," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 65 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di Sabah dalam tempoh 24 jam lalu membabitkan pemeriksaan 29,621 kenderaan dengan 73 diarah berpatah balik, manakala 55 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP.

Katanya, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin (PPM) yang membabitan 34 pemeriksaan di kawasan pantai timur dan empat pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu serta Labuan.

Mengenai SOP had pergerakan radius 10 kilometer yang ditetapkan kerajaan, Masidi berkata, pihak polis boleh menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai yang perlu bergerak melebihi had itu bagi membeli barang keperluan.

"Kita faham di luar bandar, ada penduduk perlu bergerak lebih 10 kilometer dari kediaman untuk membeli barang keperluan di pekan atau kedai terdekat.

"Namun, bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, tiada alasan perlu bergerak lebih 10 kilometer kerana saya yakin banyak kedai berhampiran tempat tinggal penduduk menjual barang keperluan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 11:47pm
    d