mutakhir

Pekan Rantau Panjang lengang [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Hampir 100 peratus peniaga zon bebas cukai di Pekan Rantau Panjang tidak beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini, yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Tinjauan hari ini mendapati suasana pekan terbabit sunyi sepi dengan hanya beberapa kedai makan dibuka selain tiada lagi hiruk pikuk pengunjung daripada pelbagai tempat, malah jalan juga lengang tanpa kesesakan lalu lintas seperti hari biasa.

Suasana berkenaan berulang kembali selepas situasi sama berlaku pada PKP yang dilaksanakan Mac tahun lalu, yang mana pekan itu bagaikan 'pekan koboi' tanpa sebarang operasi perniagaan walaupun ia adalah lokasi tumpuan pelancong di Kelantan.

Peniaga kedai makan, Roslina Che Ali, 51, berkata dia terpaksa membuka kedai walaupun menyedari pelanggan yang tidak ramai kerana tidak mahu stok barangan basah yang sudah dibeli awal sebelum pengumuman PKP rosak begitu sahaja.

"Hari ini, saya membuka kedai sedikit lewat dengan dibantu anak bongsu, Nurul Nadia Arif, 18, yang mana makanan yang dijual hanya boleh dibungkus sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP.

"Sejujurnya saya berasa kecewa kerana tidak sampai seminggu kedai makan dikunjungi ramai pengunjung selepas bencana banjir, dan kini PKP pula 'muncul', namun saya menyokong keputusan kerajaan memandangkan wabak Covid-19 semakin membimbangkan.

"Setakat ini saya merancang untuk berniaga sehingga stok barangan habis, mungkin akan berhenti berniaga seketika dan hanya duduk di rumah sejajar dengan saranan kerajaan," katanya ketika ditemui di kedai makan miliknya di pekan Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kelantan bermula 13 Januari termasuk lima negeri lain , namun susulan kes jangkitan Covid-19 yang meningkat tinggi, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP bermula hari ini sehingga 26 Januari.

Sementara itu, penduduk tempatan, Ahmad Azrul Mohamed, 36, mengakui sedikit lega tanpa kemasukan orang luar ke Rantau Panjang kerana risau jangkitan berlaku, lebih-lebih kawasan terbabit sudah menerima kes penyakit itu.

"Bagaimana pun, saya turut merasa sedih dengan nasib peniaga di sini, kerana terputus punca pendapatan dan berharap agar keputusan melaksanakan PKP dapat memutuskan rantaian Covid-19, seterusnya pekan ini boleh kembali bebas beroperasi seperti biasa.

"Penduduk di sini dapat melihat perbezaan suasana sebaik PKP diumumkan apabila pekan terus sunyi tanpa pengunjung. Saya berharap situasi ini tidak berlarutan kerana kebanyakan penduduk mencari rezeki hasil kunjungan orang ramai ke zon bebas cukai ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 1:09pm
    d