mutakhir

Ada lagi ingkar SOP PKP, tidak pakai pelitup muka

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 472 individu dengan 457 daripadanya dikompaun, manakala 15 orang lagi direman selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka dengan 182 kes, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (85), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (66) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (65).

Menurutnya, 32 kesalahan pula membabitkan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta lain-lain kesalahan (42).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 54,292 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Sebanyak 2,564 pasukan pematuhan membabitkan 10,858 anggota membuat pemantauan di 3,567 pasar raya, restoran (4,706), penjaja (1,765), kilang (1,343), bank (3,288) dan pejabat kerajaan (1,528).

"Juga dipantau 989 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (244) serta terminal pengangkutan udara (88)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan empat kenderaan darat dirampas semalam.

Menurutnya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus.

Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan 101 operasi sanitasi awam meliputi 32 zon merah, lima zon jingga, tujuh zon kuning dan lapan zon hijau di Sabah, Melaka, Selangor, Sarawak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

"Sejak 24 Julai tahun lalu hingga semalam, seramai 105,603 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 83 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta.

"Daripada jumlah itu, 8,588 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 96,475 individu sudah dibenarkan pulang," katanya.

Beliau berkata, sejak 20 April tahun lalu sehingga semalam juga, sebanyak 14,359 pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membabitkan 8,132 tapak binaan di seluruh negara.

"Semalam, anggota penguat kuasa memeriksa 22 tapak binaan dan daripada jumlah itu, 17 tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan, empat tapak binaan tidak patuh SOP dengan satu daripadanya diarah tutup," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 6:18pm
    d