mutakhir

'Aku mahu pergi bawah tanah'

Oleh Omar Ahmad

Pasir Gudang : "Aku mahu pergi bawah tanah," demikian kata-kata terakhir Wilson Banggau, 46.

Wilson adalah jurukimpal yang maut dalam letupan tangki di sebuah kilang kimia di Jalan Tengar, Tanjung Langsat, Pasir Gudang, kelmarin (Sabtu).

Dalam kejadian itu, dua rakan sekerjanya, Bonsi Buli, 42, dan Mohd Syafiq Abd Rahman, 23, parah.

Sepupu mendiang, yang juga pekerja kilang, Suzy Micheal Liu, 42, berkata, Wilson juga sempat membuat panggilan video bersama sepupu mereka sebelum memulakan kerja pada hari kejadian.

Katanya Wilson sepatutnya pulang pada 3 petang tetapi dia dimaklumkan mendiang meninggal dunia menerusi Mohd Syafiq yang juga terlibat dalam letupan itu.

"Hubungan Mohd Syafiq dengan mendiang memang rapat kerana ibu Mohd Syafiq, Suriati Abdullah, 53, bakal berkahwin dengan Wilson pada bulan ini.

"Wilson memang sudah merancang untuk berkahwin dan mahu pulang ke kampung halaman di Kampung Kluh Kemintin, Sri Aman, Sarawak, bagi meminta restu orang tua dan berkahwin.

"Memang terkejut sangat, saya ingat dia bergurau dengan kami sepupu yang tinggal di sini, bahawa dia mahu masuk tanah. Saya tidak sangka itu adalah petanda dia mahu pergi selamanya," katanya ketika ditemui di Taman Megah Ria di sini, hari ini.

Sementara itu, sepupu mendiang, Selomah Balit, 42 berkata, Wilson mempunyai pengalaman luas dalam bidang kerja sebagai jurukimpal lebih 10 tahun.

Katanya, mendiang yang lebih mesra disapa Didi atau Cun mempunyai keperibadian yang baik serta disenangi saudara serta kawan.

"Di sini, Didi tinggal dengan ibu saudaranya, Perak Nilah, 57. Mendiang adalah anak sulung daripada tiga beradik serta anak lelaki tunggal.

"Bapanya di Kampung juga sudah tahu berita menimpa didi. Dia sangat terkejut dan dukacita dengan berita ini.

"Didi ini baik sangat orangnya. Pada malam sebelum kejadian dia ada berjumpa dengan sepupu dan kawan. Tidak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami," katanya yang memaklumkan jenazah mendiang akan dibawa pulang ke kampung untuk disemadikan.

Dalam kejadian kelmarin, berlaku letupan pada tangki ketika kerja kimpalan di kilang kimia di Jalan Tengar, Tanjung Langsat, Pasir Gudang, di sini.

Berita berkaitan:

  • Bomba siasat punca jurukimpal maut
  • Seorang maut, dua cedera dalam letupan kilang di Pasir Gudang
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 11:12am
    d