mutakhir

Awas abang lori, JPJ akan sertai SJR [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seramai 1,200 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diarah membantu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan operasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, berkata, SJR yang dilaksanakan kini berbeza daripada SJR sebelum ini berikutan ia lebih kepada usaha mengesan kesalahan merentas sempadan.

Katanya, sebagai agensi penguatkuasa, pihaknya sentiasa sedia membantu dan bekerjasama dengan PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang ditetapkan.

"Dari segi sekatan jalan raya, bantuan kita kepada pihak polis Bukit Aman berbeza dengan yang SJR biasa.

"Dalam operasi ini, kami lebih fokus kepada kesalahan merentas sempadan seperti kes membabitkan mereka yang tiada kelulusan atau surat kebenaran berkaitan rentas sempadan.

"Selain itu, ia juga membabitkan kenderaan perdagangan yang tiada permit atau membawa muatan barangan berlebihan serta melanggar peraturan.

"Perkara ini (rentas sempadan) banyak kita terima aduan dan kita harus sedar mereka akan menggunakan pelbagai taktik untuk merentas sempadan," katanya selepas melawat kaunter perkhidmatan jabatan itu, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, tindakan tegas bersama PDRM perlu diambil terhadap mereka sebagai langkah menguatkuasakan undang-undang ditetapkan serta mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat keperluan keanggotaan dalam operasi itu sama ada perlu ditambah atau sebaliknya.

"Kita sentiasa bersiap siaga untuk menyediakan keanggotaan mencukupi dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang dalam sebarang operasi berkaitan," katanya.

Katanya, dalam operasi biasa setakat ini, JPJ merekodkan sebanyak 321 kes kesalahan dilakukan pengguna jalan raya yang dikesan membabitkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan iaitu tiada lesen memandu dan tiada Lesen Kenderaan Motor.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 4:36pm
    d