mutakhir

Diskaun khas bil elektrik 10 peratus [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Enam sektor perniagaan bakal menerima diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac depan.

Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen hari ini.

Beliau berkata, enam sektor terbabit adalah pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

"Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna TNB (Tenaga Nasional Berhad), domestik dan bukan domestik pada kadar 2 sen setiap kilowatt per jam.

"Ia bersamaan penurunan bil elektrik sehingga sembilan peratus bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, bagi mengurangkan beban perusahaan kecil sederhana (PKS) kerajaan melanjutkan potongan cukai khas kepada syarikat yang memberi pengurangan sewa premis perniagaan sekurang-kurangnya 30 peratus mulai 1 April 2020 hingga 30 Jun 2021.

"Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, potongan khas ini akan diperluaskan untuk meliputi pengurangan sewaan yang diberi kepada syarikat bukan PKS," katanya.

Selain itu, katanya, Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan mengecualikan levi majikan bagi syarikat yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga akan meneruskan program MARA Prihatin Peace of Mind 2.0, yang mana peminjam boleh memohon untuk membuat penjadualan semula bayaran balik kemudahan pinjaman pelajaran atau moratorium sehingga 31 Mac depan.

"Sebagai tambahan, usahawan MARA yang terkesan akibat Covid-19, PKP dan bencana banjir boleh membuat program penjadualan semula pembiayaan perniagaan MARA.

"Selain itu, bagi penyewaan premis perniagaan, MARA bersetuju untuk memberi diskaun 30 peratus bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021.

"Saya juga menyarankan lebih banyak agensi dan syarikat untuk turut menawarkan penjadualan semula pinjaman dan diskaun sewa premis perniagaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 5:59pm
    d