mutakhir

Seremban dan Port Dickson dikenakan PKP

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan bermula esok hingga 1 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan situasi kes Covid-19 di dua daerah berkenaan mempunyai jangkitan yang sangat tinggi.

"Berlaku peningkatan kes secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu dari 777 hingga 876 kes. Selain itu, kebanyakan mukim di Seremban juga adalah zon merah iaitu tujuh daripada sembilan mukim.

"Bilangan kes yang dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim adalah dalam lingkungan 56 hingga 283 kes manakala di Port Dickson, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang membabitkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKP di Seremban dan Port Dickson selama 14 hari.

"Pelaksanaan PKP ini adalah untuk mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan di kedua-kedua daerah berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah berkuatkuasa hari ini.

"Sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 516 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 53 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Atas nasihat KKM, sidang khas bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah pada hari ini seperti yang dijadualkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 6:11pm
    d