mutakhir

Bayaran RM1,000 GKP Permai kepada PKS di kawasan PKP [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menambah baik Skim Jaminan Prihatin Danajamin (SJPD) yang berjumlah RM50 bilion bagi menyokong sektor swasta untuk berkembang dan merancakkan ekonomi negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah penambahbaikan itu termasuk meningkatkan pembiayaan maksimum sehingga RM1 bilion, memperluas skop pembiayaan dengan tempoh jaminan sehingga 10 tahun dan membenarkan syarikat milik asing beroperasi di Malaysia mendapat jaminan SJPD.

"Syarikat milik asing yang ingin mendapatkan jaminan SJPD mesti mempunyai jumlah pekerja tempatan sekurang-kurangnya 75 peratus.

"Kerajaan berharap penambahbaikan itu dapat menjana pertumbuhan sektor swasta dan juga mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan," katanya ketika pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memperluaskan Geran Khas Prihatin Tambahan (GKP Permai) kepada 500,000 perusahaan kecil sederhana (PKS) di tujuh negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bayaran RM1,000 manakala 300,000 PKS di negeri lain akan menerima RM500.

Katanya, peluasan inisiatif GKP Permai itu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.

"Sekiranya terdapat negeri berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri terbabit serta-merta," katanya.

Beliau berkata, Katanya, kerajaan juga akan mempercepatkan pelaksanaan skim mikrokredit dan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS, PKS Mikro serta kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta.

Katanya, melalui kempen itu usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan melalui jual beli secara dalam talian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 6:18pm
    d