mutakhir

Ada beri alasan tak boleh duduk lama di rumah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sebanyak 75 notis kesalahan jalan raya dicatatkan sepanjang tiga hari penugasan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekatan jalan raya (SJR) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan, bermula 16 Januari lalu.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, secara purata 23 hingga 25 kesalahan dikesan dilakukan pengguna jalan raya terutama kesalahan teknikal membabitkan penggunaan cermin gelap dan nombor plat.

Beliau berkata, penugasan anggota JPJ yang berkolaborasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan 25 SJR di seluruh Kelantan dan pihaknya lebih menekankan kepada advokasi dan bukan penguatkuasaan sebenar.

"Dalam tiga hari penugasan sempena PKP ini, kami melihat kesalahan jalan raya tidak terlalu agresif dan tindakan hanya diambil terhadap kesalahan terlalu nyata antaranya cermin gelap dan nombor plat manakala selebihnya menggunakan pendekatan advokasi.

"Langkah ini diambil bagi menggalakkan orang ramai agar terus berada di rumah dan kurangkan pergerakan di luar bagi mematuhi PKP sehingga 26 Januari ini," katanya ketika ditemui di SJR di Jalan Hamzah di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun masih ramai cuba melakukan pergerakan tanpa sebarang alasan atau urusan tidak penting.

Katanya, ada ingkar arahan kerajaan agar memuatkan hanya dua orang sahaja dalam satu kenderaan dan untuk kesalahan itu, pihaknya serta polis akan mengarahkan agar pengguna jalan raya berpatah balik.

"Ada memberi alasan yang tidak munasabah antaranya ingin membungkus makanan dari kedai makan kegemaran dan saja-saja keluar tanpa ada sebab khusus atau dengan kata lain tidak boleh tinggal di rumah dalam tempoh lama.

"Alasan sebegini memang tidak boleh kompromi dan biasanya kami akan mengarahkan mereka agar patah balik," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membuat urusan di pejabat JPJ termasuk memperbaharui lesen atau cukai jalan, Hanif menasihatkan mereka supaya melakukannya secara dalam talian.

Katanya, langkah itu bagi mengurangkan pergerakan rentas daerah, sekali gus mengehadkan kapasiti orang ramai yang datang ke pejabat JPJ negeri.

"Sepanjang pelaksanaan PKP ini, secara puratanya kedatangan orang ramai ke pejabat JPJ Panji adalah sekitar 300 berbanding pada hari biasa kira-kira 2,000.

"Kami menasihatkan orang ramai agar berurusan melalui dalam talian sahaja kecuali untuk urusan perlu bersemuka dengan kakitangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 6:23pm
    d