mutakhir

Kurangkan beban petugas kesihatan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa untuk menyerahkan tugas pengurusan bukan perubatan kepada agensi selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengurangkan beban digalas petugas barisan hadapan.

Ketua Pegawai Operasi Hospital Putra Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, untuk bidang tugas seperti mengenalpasti kontak rapat, merekod keputusan ujian, menghubungi pesakit dan mengaturkan perjalanan pesakit dari rumah ke pusat kuarantin boleh dilakukan agensi kerajaan yang lain.

Katanya, dalam keadaan penularan yang semakin membimbangkan, sewajarnya kerja pengurusan ini diberi kepada agensi lain manakala petugas KKM hanya fokus kepada rawatan serta aspek berkaitan.

"Untuk pengetahuan semua, petugas KKM ini bukan saja dipertanggungjawabkan untuk merawat pesakit, tetapi juga melakukan urusan pengurusan.

"Kalau dulu ketika kes positif belum mencecah empat angka, mungkin mereka ini boleh bertahan, tetapi jika keadaan sekarang kita risau bahawa mereka ini tidak mampu untuk bertahan, terlalu penat," katanya ketika dihubungi.

Justeru, katanya, kerja pengurusan yang boleh dijalankan di dalam pejabat dan tidak perlu turun ke lapangan, wajar diberikan kepada agensi kerajaan yang lain.

Katanya, ini kerana kebanyakan kakitangan kementerian yang lain diberikan kelonggaran untuk bekerja dari rumah atau kelonggaran bercuti.

"Ada juga di antara mereka yang pejabatnya ditutup dan bebanan kerja mereka agak berkurangan ketika ini.

"Maka tidak ada salahnya jika bebanan kerja ini dikongsi bersama dengan semua agensi kerajaan dan kementerian yang lain, agar kerja menjadi lebih mudah dan berkesan sekali gus memberikan manfaat kebaikan kepada rakyat Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 7:49pm
    d