mutakhir

Buka sekatan jalan raya untuk pelajar tingkatan 5

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Polis akan membuka sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Persiaran Mahogani, Kota Damansara, di sini, secara berjadual, bersyarat dan terhad mulai 20 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan itu adalah susulan pembukaan sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

"Pelepasan terhad SJR itu dijadualkan pada setiap Isnin hingga Jumaat iaitu pada sesi pagi bermula jam 6.30 pagi hingga 7.30 pagi dan sesi petang mulai 2.30 petang hingga 3.30 petang.

"Pelepasan itu hanya dibenarkan kepada penjaga (hanya seorang) bersama pelajar berpakaian seragam menggunakan kenderaan persendirian, guru (ada pas guru), kakitangan sekolah yang bertugas serta bas atau van sekolah membawa pelajar berpakaian seragam dengan surat kebenaran dari sekolah terbabit," katanya tadi.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai yang tidak layak bagi pelepasan itu supaya tidak mengambil kesempatan untuk melepasi laluan berkenaan.

"Pegawai dan anggota polis akan memeriksa pergerakan setiap kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

"Jika ingkar arahan itu, tindakan undang-undang akan diambil mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:04pm
    d