mutakhir

590 individu ditahan langgar SOP [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 590 individu ditahan selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 553 dikompaun manakala 35 direman dan dua dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (250), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (137), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (38), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (165), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (31) dan lain-lain (164).

"Sebanyak 2,588 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,020 anggota membuat pemantauan di 3,591 pasar raya, 4,697 restoran, 1,604 penjaja, 1,320 kilang, 3,142 bank dan 540 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 922 terminal pengangkutan darat, 239 terminal pengangkutan air serta 64 terminal pengangkutan udara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung kawalan sempadan negara, Ismail berkata, lapan Pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas empat kenderaan darat.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Sebanyak 415 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam di seluruh negara bagi mengekang kemasukan Pati," katanya.

Menurutnya, sehingga 19 Januari, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan 172,248 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 6,448 majikan.

"Sehingga kini juga, sebanyak 828 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:52pm
    d